fbpx

Mayat lelaki ditemui terapung dekat Pulau Tuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM dan polis menutup mayat lelaki yang ditemui terapung berhampiran Pulau Tuba pada pagi ini.

LANGKAWI – Satu mayat lelaki dipercayai nelayan yang dilaporkan terjatuh dari bot pukat tunda dekat Pulau Payar pada Rabu lalu ditemui terapung berhampiran Pulau Tuba di sini hari ini.

Mayat itu dijumpai pada kedudukan 1.7 batu nautika tenggara Pulau Tuba pada pukul 8.10 pagi ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang penemuan mayat tersebut daripada kapten kapal layar Lili Marleen.

“Sebuah bot Maritim Malaysia (APMM), bot Petir 81 yang sedang melakukan operasi terus ke lokasi dan menemui mayat lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian baju T warna kelabu dan seluar jean pendek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, berdasarkan pakaian pada mayat, ia boleh dikaitkan dengan kejadian seorang awak-awak bot nelayan berusia lingkungan 20-an yang terjatuh ke dalam laut pada kedudukan 4.1 batu nautika utara Pulau Payar pada Rabu lalu.

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, identiti mangsa masih belum dikenal pasti selain pihaknya turut tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kehilangan ahli keluarga.

“Justeru, saya meminta orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga agar menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa yang tidak dikenal pasti identiti dipercayai terjatuh ketika berada di dalam bot pukat tunda bersama tekong dan seorang lagi nelayan.

Mangsa dipercayai baru hari pertama bekerja bagi menggantikan nelayan yang bercuti menyebabkan identitinya tidak dapat dikesan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI