Oleh KHAIRUL MOHD ALI
JOHOR BAHRU – Peka dengan keperluan penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas di sini, Hospital KPJ Pakar Puteri di sini tampil menghulurkan sumbangan berbentuk katil hospital terpakai sebanyak 21 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Pakar Puteri, Haliza Khalid berkata, walaupun katil berkenaan merupakan katil terpakai, namun ia telah diperiksa bagi memastikan ia boleh berfungsi dengan sempurna.
“Pemberian katil ini diharap dapat memberi manfaat buat penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan yang majoriti mempunyai masalah kesihatan.
“Kita sentiasa komited untuk membantu badan bukan kerajaan atau individu memerlukan khususnya melibat khidmat penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Haliza, pemberian sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada program khidmat masyarakat (CSR) pihaknya buat komuniti khususnya melibatkan golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin pula memberitahu, sumbangan berbentuk katil itu tepat pada masanya.
“Untuk makluman, pembinaan bangunan baharu pusat jagaan ini sedang dijalankan jadi sumbangan ini amat tepat pada waktunya.
“Kita juga telah menerima 13 penghuni baharu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat jadi sedikit sebanyak sumbangan ini akan dapat memenuhi keperluan mereka,” ujarnya.-K! ONLINE