KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) memohon agar moratorium pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana yang akan berakhir pada September ini dilanjutkan selama enam bulan lagi.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, cadangan tersebut akan memberi ruang kepada kumpulan tersebut untuk meringkatkan beban aliran tunai yang dihadapi PKS.
“Ini akan memberi ruang yang terbaik kepada usahawan pada masa sekarang.
“Peluang ini juga akan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang kini kurang mampu dari segi ekonomi, terutamanya syarikat-syarikat yang bergelut untuk mempertahankan perniagaan masing-masing dan pekerja yang diberhentikan dan kehilangan sumber pendapatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
FMM menjelaskan, banyak perniagaan, terutamanya yang terbabit dalam produk dan perkhidmatan tidak penting, hanya memulakan operasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (RMCO) pada 10 Jun lalu.
Thian Lai menjelaskan, melalui cadangan melanjutkan moratorium tersebut, ia akan membolehkan PKS memanfaatkan pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Jangka Pendek PENJANA, tanpa membebankan perniagaan dengan kos membayar hutang dan mampu mengurangkan kos kelangsungan perniagaan mereka.
Syarikat-syarikat pembuatan yang menyokong industri pembinaan dan hospitaliti juga terus merasai impaknya memandangkan sektor-sektor ini hanya boleh menyambung semula operasi selepas syarat-syarat tambahan dan langkah berjaga-jaga serta Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan, kata beliau.
“Sektor-sektor dan perniagaan ini memerlukan masa yang lebih lama untuk menangani kemusnahan COVID-19 dan impak ke atas perniagaan mereka,” kata beliau.
Selain itu, tambah beliau, sehingga 6 Julai lalu, Program Subsidi Upah (WSP) telah memanfaatkan 310,622 majikan membabitkan 2.48 juta pekerja.
Program WSP yang telah dilanjutkan selama enam bulan, kemungkinan berakhir pada September. Ini bertepatan dengan dengan tempoh tamatnya moratorium pinjaman dan dibimbangi akan memberi masalah berganda ke atas perniagaan, sekali gus menjejaskan daya mampan dan inisiatif untuk memulihkan perniagaan mereka.