Oleh NUR ALINA HASSAN
BATU PAHAT- Dua sahabat ditemui selamat selepas dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Soga, Taman Bukit Perdana, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, mangsa Lim Chen Eng dan Tan Woam Min masing-masing berusia 48 tahun itu berjaya ditemui pada pukul 10.20 malam.
Menurut Mohd. Fauzi, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 malam dan bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota dengan dua buah jentera.
“Sebaik berada di lokasi kejadian, didapati dua mangsa ini berada di puncak bukit dan justeru, kami bertindak mengesan lokasi mereka sebelum kedua-duanya ditemui dan berjaya dibawa keluar dengan selamat.
“Difahamkan dua mangsa yang beralamat di Batu Pahat ini telah berpengalaman mendaki Bukit Soga, namun gagal mencari jalan keluar selepas mencuba trek baharu di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Fauzi yang juga komander operasi berkata, salah seorang mangsa sebelum itu telah menghubungi rakannya yang lain bagi memaklumkan keadaan mereka dan meminta bantuan.
“Rakan mangsa kemudian bertindak menghubungi pihak berkuasa berikutan hari semakin gelap dan kedua-duanya masih gagal keluar dari bukit berkenaan.
“Mangsa mengakui pertama kali mencuba laluan trek baharu di bukit berkenaan namun tidak sangka gagal menemui jalan keluar ketika berada di puncak,”katanya.- K! ONLINE