Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Selepas enggan memberhentikan kereta dan melarikan diri di sekitar Butterworth, dua lelaki akhirnya berjaya ditahan selepas dikepung polis di Jalan Raja Uda di sini semalam.
Terdahulu, kedua-dua suspek warga tempatan yang masing-masing berusia 50 dan 32 tahun itu diarahkan berhenti oleh anggota polis yang membuat rondaan bagi tujuan pemeriksaan kira-kira pukul 7 petang.
Sebaliknya, suspek yang memandu Proton Iswara bertindak memecut dari Jalan Bagan Lalang dan merempuh tiga kenderaan awam sebelum ditahan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Norzainy Mohd. Noor berkata, suspek mengalami kecederaan kecil pada kening ekoran berlakunya pergelutan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar berisi serbuk putih dipercayai dadah dan hasil saringan awal ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek masing-masing didapati turut memiliki empat dan satu rekod jenayah lampau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksywn 15(1)A Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau turut menasihati pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan dalam kejadian itu untuk membuat laporan di mana-mana balai polis berdekatan dengan segera. -K! ONLINE