SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengecam keras perbuatan menconteng mural pemimpin negara dengan perkataan tidak senonoh di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini hari ini.
Beliau turut mengesa pihak polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk bekerjasama menyiasat dan memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan vandalisme yang berlaku di Seksyen U12, Shah Alam. Saya telah mengesa pihak MBSA dan PDRM @PDRMsia untuk bekerjasama menyiasat dan memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam twitter rasminya.
Empat potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ;Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah diconteng individu tidak bertanggungjawab.
Kejadian tersebut telah disedari kira-kira pukul 8 pagi oleh pekerja restoran berdekatan yang melalui kawasan mural tersebut.
Sementara itu, MBSA dalam satu kenyataan berkata, tindakan vandalisme seperti ini amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang telah bekerja keras dan komited dalam menangani wabak Covid-19.
“MBSA telah mengambil langkah segera untuk mengecat semula dinding tersebut dengan cat berwarna putih dan pada masa yang sama satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6 berhubung contengan di mural tersebut.
“Kita turut akan mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005,” katanya. – K! ONLINE