PUTRAJAYA – Seramai 1,061 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air semalam diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Taiwan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Australia, Filipina, New Zealand, China, Hong Kong dan Mesir.
“Sehingga semalam, seramai 1,062 orang rakyat Malaysia pulang ke tanah air.
“Seramai 1,061 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di rumah manakala seorang telah dibawa ke hospital,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 22,076 individu di pintu masuk KLIA dari 10 Jun hingga 19 Julai lalu.
“Daripada jumlah ini, 21,998 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.
“78 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya. – K! ONLINE