SHAH ALAM – Ramai masih berdegil menjalani ujian saringan kedua Covid-19 selepas melakukan kuarantin sendiri di rumah selepas pulang dari luar negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian saringan kedua yang dijalani pada hari ke-13 sangat penting dalam menentukan sama ada mereka ini positif atau negatif.
Menurut beliau, mereka boleh menjalani ujian saringan tersebut di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran.
“Pada peringkat awal laporan terdapat 1,400 orang namun apabila diumumkan menurun kepada 400 orang dan masih ada lagi tidak membuat saringan itu.
“Berdasarkan sebelum ini sememangnya ada mengesan mereka yang positif selepas menjalani ujian saringan kedua walaupun peratusannya kecil tetap berbahaya. Justeru, kita minta beberapa ratus orang lagi masih berdegil untuk melakukan ujian tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau melawat mural gergasi potret beliau sendiri yang dilukis pada diniding sebuah bangunan kedai di Seksyen U12 di sini.
Ismail Sabri memberitahu, mereka yang menjalani kuarantin di rumah ini dipantau menerusi aplikasi MySejahtera dan memakai gelang sebagai penandaan.
Ujar beliau, sekiranya mereka keluar bererti melanggar prosedur standard operasi (SOP) selain perlu menjaga keselamatan diri dengan berada di dalam bilik dan tidak bergaul dengan keluarga.
“Pihak polis dan Kementerian Kesihatan turut akan melakukan pemeriksaan dari masa ke semasa bagi memastikan SOP dipatuhi kelompok tersebut.
“Bagaimanapun, perundangan dan SOP semata-mata tidak berjaya sekiranya tiada kesedaran di kalangan orang yang dikuarantin untuk mendisplinkan diri dan mengawal wabak tersebut daripada merebak,” katanya. -K! ONLINE