LUMUT – Satu inisiatif baru iaitu Life Saving Appliances (Lisa) sebagai langkah tambahan keselamatan pengunjung di pantai Teluk Batik diperkenalkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hari ini.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, peti yang mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, beg tali dan siren itu merupakan inovasi pertama dilaksanakan di negeri ini.
“Lisa yang diusahakan dengan kerjasama Tourism Perak akan berfungsi sebagai langkah awal keselamatan sekiranya berlaku insiden lemas.
“Para pegawai JBPM bersama agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan memberi tunjuk ajar penggunaannya kepada para pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan di Air, Pemasangan Papan Tanda Keselamatan dan Lisa di Pantai Awam Teluk Batik di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Tourism Perak, Zuraida Md. Talib.
Tambah Azmi, sebanyak sembilan kes lemas dilaporkan di negeri Perak membabitkan 10 kematian pada tahun ini dan inisiatif ini diharap dapat mencegah lebih banyak kes lemas pada masa akan datang.
“Ini merupakan percubaan pertama pemasangan Lisa dan ia akan menjadi titik tolak kepada pemasangan di kawasan tumpuan pelancongan lain di seluruh negeri ini.
“Jika ia dilihat berjaya dalam tempoh enam bulan ini, kita akan kembangkan penggunaannya di kawasan lain seperti Tasik Cermin, Pulau Pangkor dan Tasik Banding,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pengunjung perlu mengelakkan sebarang perbuatan vandalisme dan kerosakan lain terhadap Lisa memandangkan ia milik masyarakat serta demi keselamatan pengunjung lain.
“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak nelayan untuk bantu kita. Mungkin kita ada kaedah untuk melantik mereka sebagai bomba nelayan,” katanya. – K! ONLINE