fbpx

3,000 Orang Asli terputus hubungan selepas banjir lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKIT runtuh menutup jalan utama ke Pos Hendrop dan Pos Tuel akibat hujan lebat dan banjir lumpur petang semalam.

GUA MUSANG – Dianggarkan seramai 3,000 penduduk Orang Asli di Pos Hendrop dan Pos Tuel dekat sini terputus hubungan selepas jalan utama ke dua perkampungan itu ditimbus tanah runtuh akibat kejadian banjir lumpur semalam.

Kejadian berlaku apabila hujan lebat berterusan disusuli angin kencang bermula pukul 6 petang semalam menyebabkan paras air Sungai Ber meningkat dengan cepat.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Pos Hendrop, Kamal Rami berkata, kejadian disedari penduduk pada pukul 10 malam apabila melihat hakisan tanah dari bukit berhampiran jatuh lalu menutup jalan berkenaan.

Katanya, kejadian banjir lumpur turut menyebabkan tanaman dan banyak pokok tumbang.

“Pokok-pokok kayu besar dihanyutkan arus deras sebelum merempuh sebuah jambatan menghubungkan Pos Hendrop dengan Pos Tuel hingga runtuh.

“Ketika ini, penduduk kampung telah terputus hubungan apabila kawasa bukit berhampiran runtuh dan menutup laluan jalan,” katanya.

Jelas Kamal, susulan kejadian itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kedudukan rumah penduduk yang berada di kawasan tinggi menyebabkan mereka terselamat daripada ditenggelami banjir lumpur.

Sementara itu, seorang penduduk, Biah Pinang, 48, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu terutamanya apabila kawasan kampung terputus hubungan dengan kawasan luar.

Katanya, mereka berharap agar jalan dan jambatan dibaiki dengan kadar segera untuk kemudahan perhubungan penduduk Orang Asli.

“Penduduk telah berkurung di dalam rumah merema ekoran bimbang berlaku kejadian tanah runtuh lagi.

“Kami berharap pihak berkuasa segera membina sebuah jambatan baharu dan menyodok tanah yang menimbus jalan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil perhatian kebajikan penduduk Orang Asli dan akan membaik pulih jalan yang rosak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI