fbpx

20 petugas KKM terkandas jambatan runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Hospital Orang Asli Gombak terkandas di Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan diselamatkan anggota penyelamat malam tadi.

GUA MUSANG – Seramai 20 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Orang Asli Gombak berdepan detik cemas apabila mereka terkandas di Pos Belatim di sini malam kelmarin akibat jambatan runtuh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, petugas kesihatan termasuk doktor terbabit terkandas ketika dalam perjalanan ke bandar Gua Musang.

Menurut beliau, kesemua mereka dalam perjalanan pulang selepas beberapa hari melakukan tugasan berkaitan kesihatan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

“Mereka terkandas ketika dalam perjalanan pulang pada pukul 8 malam kelmarin. Perjalanan mereka tersekat apabila berlaku kejadian jambatan runtuh akibat hujan lebat.

“Salah seorang doktor terlibat kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis pada pukul 9.45 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Taufik berkata, kesemua mangsa terpaksa bermalam di lokasi kejadian sementara menunggu anggota penyelamat tiba di lokasi mereka pada pukul 3 petang semalam.

Kata beliau, anggota penyelamat terpaksa berjalan kaki sejauh lapan kilometer untuk tiba ke lokasi mereka.

“Kesemua mereka dibawa keluar menggunakan kenderaan disediakan jabatan pasukan penyelamat dan selamat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pukul 8 malam tadi.

“Mereka tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan bekalan makanan mereka mencukupi sepanjang kejadian tersebut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI