KUALA LUMPUR – Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) memperkenalkan dua model motosikal berwajah baharu iaitu Tracer 900 GT dan MT-09 sebagai strategi mengukuhkan saingan dalam segmen 900cc tempatan.
Motosikal sport tourer Yamaha Tracer 900 GT edisi 2020 ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu jingga hitam (Reddish Copper) dan perak hitam (Midnight Silver).
Pembeli model naked MT-09 pula boleh memilih warna baharu iaitu biru (Yamaha Racing Blu). HLYM turut mengekalkan skema warna lama jenis kelabu lembut (Ice Fluo) dengan padanan rim jingga yang diperkenalkan tahun lalu sebagai opsyen kedua.
Tracer 900 GT dan MT-09 berkongsi enjin sama iaitu jenis tiga silinder sebaris dengan sistem penyejukan cecair dan transmisi enam kelajuan manual. Rangkaian kuasa ini menyalurkan kuasa 115PS dengan tork puncak 87.5Nm ke roda belakang menerusi sistem pacuan rantai.
Kedua-dua model menggunakan sistem brek sama iaitu cakera berkembar 298 milimeter (mm) pada roda depan dan cakera tunggal 245mm pada rim belakang berukuran 17 inci.
Yamaha Tracer 900 GT dipasang saiz tangki minyak lebih besar iaitu 18.7 liter berbanding MT-09 dengan kapasiti 14 liter. Berat motosikal Tracer 900 GT ialah 215 kilogram (kg) manakala MT-09 adalah seberat 193kg.
Harga jualan asas yang disyorkan bagi Yamaha MT-09 dan Tracer 900 GT tidak berubah iaitu masing-masing kekal pada RM48,920 dan RM58,888 seunit. Harga ini tidak termasuk kos insurans, caj pendaftaran nombor kenderaan dan cukai jalan.
Info: Spesifikasi
Enjin: Tiga silinder sebaris, DOHC
Kapasiti: 847cc
Gerek x lejang: 78mm x 59.1mm
Nisbah mampatan: 11.5:1
Output kuasa: 115PS@10,000rpm
Tork maksimum: 87.5Nm@8,500rpm