fbpx

Sultan Selangor benarkan tambah jemaah solat fardu dan Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Masjid dan surau di Selangor dibenarkan menambah bilangan jemaah bagi solat fardu dan Jumaat mengikut jumlah kapasiti sebenar ruang solat bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran penambahan jemaah itu selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan memastikan penjarakan sosial 1.5 meter.

“Pelaksanaannya berkuat kuasa hari ini di semua masjid termasuk surau yang diberi kebenaran khas solat fardu Jumaat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Bagaimanapun, kehadiran jemaah muslimat (wanita) adalah tidak dibenarkan kecuali di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, para jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu melalui proses pendaftaran dan penggiliran yang telah ditetapkan sebelum ini.

Ujarnya, manakala solat fardu lima waktu dilaksanakan dengan kaedah kehadiran jemaah secara terbuka adalah sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi.

“Prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi seperti berada dalam keadaan berwuduk dari rumah, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan sihat serta tidak bergejala iaitu bacaan suhu tidak melebihi 37.5 celcius.

“Selain itu, jemaah perlu menggunakan cecair pembasmi kuman atau membersihkan tangan, hadir lebih awal ke masjid atau surau Kebenaran Khas Jumaat (sebelum azan pertama berkumandang) dan sentiasa mematuhi dan menjaga penjarakan sosial,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan JAIS akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pematuhan SOP oleh pihak masjid dan surau oleh jemaah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang pelanggaran SOP dan JAIS tidak teragak-agak menarik semula kelonggaran yang diberikan demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan para jemaah serta imej agama Islam,” katanya.

Sebelum ini, seramai 1,000 orang ditetapkan bagi solat Jumaat dan fardu bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Sementara, 500 orang bagi semua masjid lain dan 40 orang bagi surau kebenaran solat dan surau lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN