fbpx

Polis tumpaskan Geng Karu, tahan lapan suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafa'aton (tiga dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam beberapa siri serbuan di sekitar Selangor pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

SUNGAI BULOH – Kelicikan sebuah kumpulan dikenali Geng Karu yang aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah akhirnya terbongkar dalam beberapa siri serbuan di sekitar Selangor sejak 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di beberapa lokasi berdasarkan hasil risikan.

“Serbuan dan tangkapan dilakukan di Bandar Sri Damansara, Taman Datuk Ahmad Razali Ampang, Jalan Bunga Tanjung dan Pangsapuri Program Perumahan Rakyat(PPR) Seksyen 26 Shah Alam, Bandar Baru Sungai Buloh dan rumah kustar Hospital Sungai Buloh.

“Pihak polis turut menahan lapan ahli kumpulan termasuk tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun yang disyaki aktif melakukan kegiatan samun serta pecah rumah sejak awal tahun 2019,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sungai Buloh di sini hari ini.

Menurut Shafa’aton, siasatan yang dilakukan mendapati kumpulan berkenaan diketuai oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Karu, 25, dan menyasarkan rumah kediaman serta flat selain aktif melakukan samun di tepi jalan.

“Semakan yang dilakukan mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan samun, pecah rumah serta dadah malah seorang daripada mereka mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk dua kali ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Soal siasatan yang dilakukan juga mendapati kesemua suspek yang ditahan mempunyai hubungan keluarga selain rakan. Penahanan ini dipercayai mampu menyelesaikan 30 kes di daerah Sungai Buloh, Gombak, Shah Alam dan Sentul,” katanya.

Jelas Shafa’aton, pihak polis turut merampas pelbagai barangan seperti barang kemas, televisyen dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM80,000.

“Kumpulan ini akan menjual barangan hasil samun dan pecah rumah yang diperoleh kepada kedai pajak gadai, orang perseorangan disamping untuk kegunaan sendiri.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 18 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 kerana samun dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” jelasnya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI