JOHOR BAHRU – Seorang penolong pengarah dan pegawai imigresen Pasir Gudang dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini hari bersama tiga lagi individu atas lapan pertuduhan berasingan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) pertengahan bulan lalu.
Tertuduh, Penolong Pengarah Imigresen, Norhayati Abu Bakar, 50; Pegawai Imigresen Kanan, Haris Fadzilah Abu Bakar, 48, dan buruh binaan, M. Amir Nasir, 61, masing-masing menghadapi lapan pertuduhan.
Manakala ejen tiket, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan, 54, berdepan dua pertuduhan manakala pengawal keselamatan, Razali Mohamad, 55, menghadapi satu pertuduhan menyeludup migran.
Kesemua tertuduh mengangguk faham atas kesemua pertuduhan dibaca di lima mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun, Faiz Dziyauddin, V. Mabel Sheela, Wan Norisham Wan Yaacob dan Aizatul Akma Maharani bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut semua kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 21, Jalan Feri, Pelabuhan Pasir Gudang di sini pada pukul 12 tengah hari, 15 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang boleh dihukum dibawah akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim, Nor Azizah Mohamad dan Nur Baiduri Mustakim.
Noryati diwakili peguam Zaid Malek; Haris Fadzilah oleh peguam Khairul Nadiah Hasni dan M. Amir diwakili peguam Izzat Muhtar.
Manakala Tengku Jajang diwakili peguam Muhamad Isa Mohamad Basir manakala Razali diwakili peguam Munirah Najihah Shaari.
Mahkamah turut menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh. -K! ONLINE