fbpx

Warung tepi sawah saji makanan RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (depan, kiri) menunjukan antara menu makan tengah hari, petang yang dijual di warung berkenaan di Kampung Sungai Padang dekat Simpang Empat semalam.

KANGAR – Makan apa sahaja dengan harga RM1. Itu tawaran seorang peniaga di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat dekat sini yang menjual pelbagai menu makan tengah hari dan minum petang kepada penduduk sejak Januari lalu.

Warung Selera D’Bendang Senja yang terletak di tepi sawah kampung berkenaan dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Jumaat menawarkan menu nasi ayam, nasi daging, nasi gulai ayam dan gulai daging.

Pemiliknya, Zulkifli Ismail, 39, berkata, warungnya turut menjual laksa, bihun sup, kuetiau sup, mi sup, pulut mempelam, pulut kuning dan cendol, selain pelbagai jenis air pada harga RM1
sahaja.

Katanya, selain penduduk tempatan, warung itu turut dikunjungi orang ramai dari seluruh negara termasuk pelancong asing sejak dibuka pada Januari lalu.

“Pelanggan warung ini pernah mencecah 2,000 orang sehari, malah pada hujung minggu saya perlu memasak nasi sehingga 80 kilogram (kg) beras sehari berbanding 40 kg pada hari biasa.

“Saya juga perlu memasak sup sehingga empat periuk kerana permintaan tinggi. Satu periuk hanya cukup untuk 300 orang sahaja,” katanya.

Zulkifli berkata, dia membuka warung berkenaan untuk meringankan beban kewangan penduduk kampung tersebut terutamanya yang mempunyai keluarga besar untuk makan bersama di situ tanpa risau terpaksa berbelanja lebih.

Katanya, dia bercadang untuk memperkenalkan menu baharu iaitu set ikan bakar, ayam bakar dan daging bakar pada harga RM4.99 pada akhir tahun ini.

Sementara itu, seorang pelanggan, Saadan Ismail, 61, berkata, dia sekeluarga memilih warung berkenaan bukan sahaja kerana harga tetapi makanan yang dijual sedap dan menepati selera.

“Walaupun harga makanan murah iaitu RM1, namun mengenyangkan.

“Pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis hidangan kerana harganya yang sangat murah,”
katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI