SEPANJANG minggu lalu, letih juga Diva dengar cerita tentang Fynn Jamal. Rasanya, ini bukan kali pertama dia mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkaitan agama dalam media sosial hingga mencetuskan perdebatan ramai.
Baru-baru ini, Fynn sekali lagi ‘bersuara’ menerusi IG Storynya mengenai isu rogol. Kenyataan penyanyi lagu Arjuna Beta itu seperti menyalahkan wanita sebagai punca utama masalah itu berlaku. Fynn juga mendakwa gambar swafoto dan menggunakan filter adalah penyebab kejadian rogol. Pening Diva nak ‘hadam’ semua hujah Fynn. Namun, apa yang membuatkan netizen lebih marah apabila Fynn mengeluarkan kenyataan: “Kalau kena rogol, awak bersabar, awak dapat satu pahala kerana ujian rogol.”
Menurut sesetengah netizen, Fynn perlu faham situasi mangsa yang dirogol sebelum keluarkan sebarang kenyataan. Diva ada juga menonton siaran langsung Instagram (IG Live) Fynn bersama Caprice dan Wardina Safiyyah. Agak ‘pahit’ juga hujah yang diberikan oleh mereka kepada Fynn. Tetapi ada juga yang berpendapat, mereka bertiga bukan individu yang layak untuk berbicara soal hukum agama terutama tentang isu sensitif seperti rogol. Diva rasa mungkin Fynn perlu berehat daripada bikin kecoh atau merujuk dulu dengan mana-mana mufti atau ulama jika ingin membahaskan sesuatu isu, terutamanya berhubung perkara agama sebab melibatkan sensitiviti.
Bukan apa pun, yang menjadi perdebatan netizen ialah, siapa Fynn dan apakah tahap Fynn untuk mengulas isu tersebut? Harap Fynn akan lebih berhati-hati jika ingin keluarkan sebarang hujah selepas ini. Mungkin benar kata orang, kerana mulut badan binasa.
DIVA: Ramai artis wanita yang sudah berhijab sekarang. Semoga kekal istiqomah ya semua.