fbpx

Gagal letak tanda harga, tiga peniaga dikompaun serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah premis di sekitar Subang Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR – Tiga peniaga dikompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan kawalan di premis mereka dalam satu operasi di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, dekat sini kelmarin.

Operasi oleh sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bermula kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, hasil pemeriksaan lebih sejam itu mendapati, tiga premis telah dikenakan kompaun serta merta kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Menurutnya, antara barangan yang tidak dipamerkan tanda harga adalah gula dan gas petroleum cecair (LPG) atau gas memasak yang merupakan barangan yang dikawal oleh kerajaan.

“Kita khuatir peniaga mengambil kesempatan menjual barangan yang dikawal ini melebihi harga yang ditetapkan kerajaan kerana mereka tidak mempamerkan harga pada barangan tersebut.

“Oleh itu, tindakan kompaun serta-merta sebanyak RM 1,000 telah dikenakan kepada setiap peniaga terbabit mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 iaitu ,”katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, harga yang ditetapkan bagi gula putih bertapis kasar adalah RM2.85 manakala gas memasak (LPG) 14kg adalah RM26.60.

Justeru katanya, KPDNHEP ingin menasihatkan kepada semua peniaga agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan terutamanya berkaitan penandaan harga ini.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan terutamanya barangan kawalan.

“Pengguna dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang aduan dan salah laku peniaga melalui saluran aduan yang telah disediakan kepada pihak KPDNHEP,” jelas beliau. – K! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI