fbpx

Parlimen akan bersidang apabila tiba masa sesuai – Takiyuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah usaha memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.

“Kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti-parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 yang belum reda sepenuhnya.

“Kerajaan ingin menarik perhatian semua pihak bahawa langkah pengawalan dan pencegahan wabak ini masih berterusan dengan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, semasa darurat berkuatkuasa, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan.

Katanya, pandangan itu boleh disalurkan melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa darurat.

“Justeru, tidak wajar wujud kesangsian atau syakwasangka berlakunya salahguna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa.

“Ini termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira￾kira Wang Awam (PAC),” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI