23/09/2017

Malaysia tamatkan dominasi 10 tahun Thailand

Malaysia tamatkan dominasi 10 tahun Thailand


Pemain Goalball negara bersama pingat emas selepas memenangi perlawanan akhir Goalball menewaskan Thailand pada Sukan Para ASEAN di MITEC di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Malaysia menamatkan penguasaan Thailand selaku juara bertahan sejak 2005 hingga 2015 apabila menewaskan pasukan itu 9-5 pada aksi final goalball lelaki di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Dalam perlawanan yang senyap tapi mendebarkan itu, Malaysia membuka jaringan menerusi Muhammad Amirul Ahmad pada awal minit permainan separuh masa pertama berlangsung.

Bagaimanapun, Thailand menyamakan kedudukan menerusi Siwarin Phonphirun sebelum Malaysia menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan selesa 5-2.

Juara bertahan itu yang ternyata tidak mahu mengalah awal apabila melakukan pertukaran dua orang pemain pada separuh masa kedua untuk memperkuatkan pasukan dan berjaya mengejar kutipan mata Malaysia.

Thailand cuba merapatkan jurang pada kedudukan 6-5 namun percubaan mereka banyak diselamatkan pemain tengah Muhammad Haiqal Azani Azman.

Para penonton yang memenuhi Dewan 8, MITEC menyaksikan aksi itu dengan penuh debaran, dan di minit-minit akhir perlawanan, selain perhatian tertumpu ke tengah gelanggang, perhatian mereka juga terarah pada mesin elektronik masa, bagi detik terakhir perlawanan. - Bernama