22/09/2017

Misi capai sasaran 103 pingat emas makin sukar

Misi capai sasaran 103 pingat emas makin sukar

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA


Cabaran daripada pasukan Thailand dan Indonesia mungkin menggugat misi negara capai sasaran 103 pingat emas.

KUALA LUMPUR - Harapan kontinjen negara untuk mencapai 103 pingat emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) semakin sukar apabila perlu ‘keajaiban’ untuk meraih 19 lagi pingat emas pada hari terakhir sukan dwitahunan yang melabuh tirainya di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan kedua dalam carta kedudukan pingat apabila mengutip 84 pingat emas, 79 pingat perak dan 69 pingat gangsa di belakang Indonesia yang mendahului carta dengan 109 emas, 64 perak dan 41 gangsa.

Ketua kontinjen atlet para Malaysia, Datuk R. Subramaniam menyifatkan cabaran daripada pasukan Thailand dan Indonesia mungkin menggugat misi negara itu meskipun masih ada 19 pingat emas ditawarkan menerusi sukan ping pong dan goalball pada hari ini.

“Saya menjangkakan misi untuk mencapai sasaran 103 pingat emas dan muncul sebagai juara keseluruhan agak sukar memandangkan pingat yang dipertandingkan sudah semakin berkurangan.

“Walaupun masih ada 19 pingat emas, peluang agak tipis memandangkan saingan besar daripada pasukan Thailand dan Indonesia sememangnya sangat kuat dan kita perlu berwaspada,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE