22/09/2017

Skuad bola sepak CP negara raih gangsa tewaskan Singapura

Skuad bola sepak CP negara raih gangsa tewaskan Singapura


Skuad bola sepak CP negara berjaya tewaskan Singapura 4-0.

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak CP (Palsi Serebrum) negara berjaya menamatkan siangan temasya Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 dengan merangkul pingat gangsa selepas menjinakkan Singapura 4-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga di sini hari ini.

Turun berbekalkan dendam kekalahan kepada negara jiran itu di peringkat yang sama pada edisi 2015 di Singapura, skuad negara berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Muhammad Khairi Ismail.

Kapten pasukan, Mohamad Sobri Ghazali kemudian melebarkan jurang jaringan dua minit selepas itu sebelum Mohamad Farisan Jasnal menambah derita Singapura pada minit ke-15 untuk menjadikan kedudukan 3-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Asnan Md. Zuki terus membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri apabila menguasai permainan dengan sesekali mencipta gerakan menarik sehingga membawa kepada gol keempat negara pada minit ke-34 oleh Mohamad Sobri.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Asnan memuji barisan pemainnya yang berjaya menterjemahkan segala strategi dengan baik sewaktu beraksi di atas padang.

"Perlawanan hari ini semua pemain melaksanakan tugas mereka dengan sangat baik dan selepas kekalahan semalam, mereka tidak lagi rela berputih mata menamatkan temasya tanpa sebarang pingat jadi sebab itu mereka bermain sungguh-sungguh demi mendapatkan pingat," katanya. - Bernama