22/09/2017

Skuad bola keranjang negara tunduk kepada Thailand

Skuad bola keranjang negara tunduk kepada Thailand


Aksi pemain negara ketika tumpas kepada Thailand pada penentuan pingat emas hari ini.

KUALA LUMPUR - Skuad bola keranjang kerusi roda Thailand terbukti kehebatannya apabila mengekalkan pingat emas yang dimenangi dua tahun lepas pada Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini.

Dalam perlawanan penentuan pingat emas acara berpasukan menentang Malaysia, skuad negara tewas 56-70 kepada Thailand.

Malaysia yang ketinggalan 38-22 pada separuh masa pertama, bangkit merapatkan jurang pada babak kedua perlawanan.

Namun kepantasan pemain-pemain Thailand sukar disaingi dan skuad negara terpaksa akur dengan pingat perak.

Filipina pula meraih gangsa selepas menewaskan Myanmar 49-41 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Acara bola keranjang kerusi roda dilaksanakan menggunakan format round robin. - Bernama