21/09/2017

Skuad negara terus pamer aksi cemerlang tambah enam pingat emas

Skuad negara terus pamer aksi cemerlang tambah enam pingat emas


Mohd. Hisham menyumbangkan pingat emas pertama pada hari keempat acara olahraga APGKL2017 hari ini.

KUALA LUMPUR - Skuad negara terus memperagakan aksi cemerlang setelah menambah enam lagi pingat emas pada hari keempat acara olahraga Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pencapaian tersebut menyaksikan Malaysia mengutip 29 pingat emas keseluruhan setelah mengutip 23 emas keseluruhan sejak acara olahraga membuka gelanggang pada Isnin lepas.

Tuaian emas Malaysia hari ini bermula menerusi pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2010, Mohd. Hisham Khaironi yang memenangi acara merejam lembing lelaki F12/13 (masalah penglihatan) dengan jarak lontaran sejauh 49.98m.

Juara dunia, yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli mempamerkan aksi memukau setelah melakukan lontaran sejauh 16.81m dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran), sekali gus memperbaharui rekod kejohanan miliknya iaitu 15.69m yang dicatat pada edisi 2014 di Myanmar.

Muhammad Hafiz Abu Bakar terus menceriakan kem negara apabila mempertahankan pingat emas dalam acara lempar cakera F36/37 (Cerebral Palsy) dengan kutipan 387 mata raza.

Jonathan Wong, yang membuat penampilan sulung pada APG KL 2017, menyumbang emas keempat dalam acara lompat jauh T11/12 (masalah penglihatan) dengan kutipan 929 mata raza sebelum Adderin Majurin meraih emas kelima menerusi kutipan 425 mata raza dalam acara lontar peluru lelaki F32/33/34.

Emas terakhir Malaysia hadir menerusi Doriah Poulus yang memenangi acara merejam lembing wanita F42/44 (kecacatan anggota) setelah mengumpul 760 mata raza. - Bernama