21/09/2017

Muhammad Ziyad pertahan emas lontar peluru F20

Muhammad Ziyad pertahan emas lontar peluru F20


Atlet olahraga negara Muhammad Ziyad Zolkefli meraikan kejayaannya bersama isteri Zafira Nasir dan anaknya, Zuhayra Zafra selepas memenangi pingat emas pada acara lontar peluru lelaki kelas F20 dengan memecah rekod Asia 16.81 meter di Kejohanan Sukan Para ASEAN ke-9 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

KUALA LUMPUR - Juara dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli mempamerkan persembahan memukau untuk mengekalkan pingat emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 di sini hari ini.

Sokongan padu yang diberikan sebahagian besar penonton tempatan di Stadium Nasional Bukit Jalil nyata membakar semangat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 yang melakukan lontaran sejauh 16.81 meter (m) bagi memperbaharui rekod kejohanan miliknya iaitu 15.69m yang dicatat pada edisi 2014 di Myanmar.

Rakan sepasukannya, Mohamad Aliff Mohamad Awi meraih pingat perak dengan lontaran 12.79m manakala atlet Thailand, Sanepoot Boonkong merangkul gangsa dengan catatan 11.99m.

Catatan 16.81m itu bagaimanapun masih jauh daripada rekod dunia, 17.29m yang dilakar Muhammad Ziyad pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, Julai lepas.

Muhammad Ziyad, yang memenangi acara itu sejak APG edisi 2011 di Indonesia, nyata terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh penonton kerana hanya menyasarkan untuk memberikan persembahan yang terbaik di laman sendiri. - Bernama