21/09/2017

Muhammad Ashraf impi emas Para Asia 2018 Indonesia

Muhammad Ashraf impi emas Para Asia 2018 Indonesia


Muhammad Ashraf memenangi pingat perak dalam acara 400m kategori T46 pada Sukan Para Asean Ke-9 di Stadium Bukit Jalil di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Kejayaan meraih dua pingat emas dan satu perak dalam acara olahraga Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (APG 2017) menjadi pembakar semangat untuk Muhammad Ashraf Muhamad Haisham memburu kejayaan dalam penyertaan sulungnya di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.

Atlet olahraga para kebangsaan itu memaklumkan beliau amat teruja untuk beraksi di Indonesia dan bertekad mengumpul kilauan pingat untuk kontinjen negara pada edisi ketiga temasya sukan yang berlangsung empat tahun sekali itu.

"Saya sudah melayakkan diri ke Sukan Para Asia 2018 dalam acara 800m dan 1,500m sebelum bermulanya temasya APG 2017. Jadi fokus saya selepas ini adalah meningkatkan lagi intensiti latihan kerana saingan di peringkat Asia lebih mencabar," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau meraih pingat perak dalam acara 400m lelaki T46 (kecacatan anggota) pada hari keempat olahraga APG 2017 selepas mencatat masa 53.45 saat di belakang atlet Indonesia, Erens Sabandar yang meraih emas dengan catatan 51.54 saat, manakala gangsa menjadi milik atlet Vietnam, Phung Dinh Tu menerusi masa 55.26 saat.

Muhammad Ashraf yang kudung tangan kiri akibat kemalangan jalan raya empat tahun lepas, mencatat rekod baharu kejohanan dan rekod Sukan Para Asia dengan catatan masa 4 minit 24.73 saat dalam acara 1,500 meter lelaki T46 selain turut memenangi emas dalam acara 800m T46. - Bernama