21/09/2017

Hajat skuad bola sepak para ASEAN negara sumbang emas tidak kesampaian

Hajat skuad bola sepak para ASEAN negara sumbang emas tidak kesampaian


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (tiga,kir) memujuk salah seorang pemain bola sepak CP negara selepas mereka tewas kepada pasukan Thailand pada penentuan pingat emas di temasya Para ASEAN ke-9 2017 di Bukit Jalil hari ini.

KUALA LUMPUR - Harapan Malaysia merangkul pingat emas dalam acara bola sepak Palsi Serebrum (CP) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (APG2017) berkecai selepas kecundang 2-3 kepada Thailand pada aksi separuh akhir di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Turun selaku juara Kumpulan B, Malaysia yang dibimbing oleh Asnan Md. Zuki bermula garang apabila mendahului menerusi jaringan Muhammad Khairi Ismail pada minit ke-15, namun rembatan deras kapten pasukan lawan, Wanna Nattapong pada minit ke-27 menjadikan kedudukan terikat 1-1 dan keputusan itu kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, gol sendiri oleh pertahanan Thailand, Thaohong Narogchai pada minit ke-39 kembali meletakkan skuad negara di hadapan tetapi Thailand sekali lagi berjaya menghukum kealpaan barisan pertahanan negara untuk menyamakan kedudukan menerusi Thaohong pada minit ke-56.

Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat masa permainan sebenar.

Memasuki masa tambahan, Malaysia terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan Thailand dalam usaha memburu gol kemenangan, namun kecekapan penjaga gol Wonghanmit Jettarin berjaya menidakkan setiap peluang negara.

Thailand menerusi gerakan serangan balas yang pantas akhirnya berjaya menemui gol kemenangan selepas Suksang Paisan tenang menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Ahmad Azizan A. Aziz untuk mengesahkan tempat di final bertemu Indonesia yang turut mencatat kemenangan selepas membelasah Singapura 6-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Asnan mengakui nasib tidak menyebelahi pasukan negara selepas barisan pemainnya mempamerkan aksi terbaik dalam merealisasikan impian menaiki podium selaku juara.

"Kita sudah bermain dengan sangat baik dan dapat dilihat banyak peluang jaringan yang berjaya dicipta tetapi hanya tidak berjaya disempurnakan sahaja itu yang saya lihat menjadi punca kekalahan kita kepada Thailand," katanya.

Malaysia akan membuat perhitungan bersama Singapura dalam perlawanan penentuan pingat gangsa esok. - Bernama