20/09/2017

Malaysia tuai lapan emas hari ketiga olahraga APGKL2017

Malaysia tuai lapan emas hari ketiga olahraga APGKL2017

KUALA LUMPUR - Skuad negara terus mempamerkan aksi cemerlang setelah menambah lapan lagi pingat emas pada hari ketiga acara olahraga Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pencapaian tersebut menyaksikan Malaysia mengutip 22 pingat emas keseluruhan setelah mengutip 14 emas pada hari pertama dan kedua pertandingan.

Kilauan emas pertama hari ini hadir menerusi Muhamad Ashraf Muhammad Haisham yang melakar rekod baharu kejohanan dan rekod Sukan Para Asia dengan catatan masa 4 minit 24.73 saat dalam acara 1,500 meter (m) lelaki T46 (kecacatan anggota), sekali gus memadam rekod terdahulu, 4:27.90s yang dicipta atlet Filipina, Isidro Bildolosa pada edisi 2005 di Filipina.

Shamli Waidi mengutip pingat emas kedua setelah memenangi acara merejam lembing lelaki F36/37 (Cerebral Palsy) dengan pungutan 813 mata sebelum Bajury Ladis menyumbang pingat emas ketiga dalam acara lontar peluru lelaki F35 (Cerebral Palsy) dengan jarak lontaran 7.51m

Paralimpian negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin terus menceriakan kem negara apabila mengutip pingat emas peribadi kedua dalam acara 400m wanita T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan masa 60.86s. - Bernama