20/09/2017

Mekanik OKU pertahan pingat perak dalam acara powerlifting

Mekanik OKU pertahan pingat perak dalam acara powerlifting




KUALA LUMPUR - Seorang mekanik motosikal kelainan upaya (OKU), Ma Hussein Mat Noh (gambar) membuktikan bahawa tiada apa yang mampu dicapai sekiranya seseorang itu berusaha dan bekerja keras untuk mencapai impiannya.

Atlet berusia 37 tahun itu membuktikannya selepas mempertahankan pingat perak kategori 80kg lelaki powerlifting Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini, apabila mengatasi kecederaan bahunya dan kekecewaan kematian bapanya sebulan lalu.

Walaupun niatnya untuk menghantar arwah bapanya, Mat Noh Hussain, 77, menunaikan haji selepas APG tidak kesampaian, beliau mahu mendedikasikan kejayaannya kepada bapanya yang meninggal dunia akibat penyakit para-paru.

"Saya azam nak dapat emas, tetapi dapat perak pun tak apa kerana mengalami kecederaan. Saya memang berazam untuk hantar arwah menunaikan haji, tapi arwah pergi dulu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

Pemilik sebuah bengkel motosikal di Bachok, Kelantan itu mengesahkan pingat perak selepas mengangkat bebanan 135kg pada percubaan kedua, namun cubaan angkatan 166kg pada percubaan ketiga untuk mencabar emas tidak berjaya.

Pingat emas menjadi milik Kampa Pongtao (165kg) dari Thailand, manakala pingat gangsa tidak dianugerahkan apabila seorang lagi peserta, Poul Sarravann dari Kemboja gagal mengangkat bebanan seberat 60kg dalam ketiga-tiga percubaan. - Bernama