20/09/2017

Muhamad Ashraf raih emas peribadi kedua dalam acara olahraga

Muhamad Ashraf raih emas peribadi kedua dalam acara olahraga


Muhamad Ashraf sujud syukur dan berdoa selepas meraih kemenangan dalam acara 1500 Meter Lelaki Kelas T46 hari ini.

KUALA LUMPUR - Pengorbanan menjalani latihan intensif sejak dua tahun lepas sehingga menyebabkan tulang fibula retak tidak menjejaskan semangat Muhamad Ashraf Muhammad Haisham yang berjaya meraih pingat emas peribadi kedua acara olahraga pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Atlet olahraga para kebangsaan itu yang mempertahankan pingat emas kategori 800m lelaki T46 (kecacatan anggota), mengekalkan kecemerlangannya apabila mencatat rekod baharu 1,500m T46 hari ini dengan catatan masa 4 minit 24.30 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu, 4:27.90 saat yang dicipta atlet Filipina, Isidro Bildolosa pada edisi 2005 di Filipina.

Pingat perak dan gangsa acara 1500m T46, masing-masing dimenangi juara bertahan, Tran Van Duc dari Vietnam manakala wakil Indonesia, Erens Sabandar dari Indonesia dengan catatan 4:25.25 saat dan 4:33.83s.

"Selepas edisi 2015 di Singapura, saya banyak belajar daripada kesilapan yang saya lakukan dan saya bagi tahu jurulatih bahawa saya mahu fokus acara 1,500m sehingga tulang fibula saya retak sebanyak dua kali ketika menjalani latihan, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk memburu kemenangan di tempat sendiri.

"Saya sudah pecahkan rekod 800m di Singapura dan saya tekad untuk pecahkan rekod acara 1,500m di laman sendiri dan alhamdulillah, saya berjaya," katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan.

Muhamad Ashraf yang kudung tangan kiri akibat kemalangan jalan raya empat tahun lepas, menjelaskan kejadian tersebut telah banyak mengubah kehidupannya. - Bernama