19/09/2017

Anas raih emas renang gaya bebas lelaki

Anas raih emas renang gaya bebas lelaki


Anas ketika menamatkan persaingan.

KUALA LUMPUR - "Air mata berharga untuk bapa saya," demikian menurut Anas Zul Amirul Sidi, juara renang acara 100m gaya bebas lelaki S14 (masalah pembelajaran) temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di sini, hari ini.

Anas, 17, dilihat mengalirkan air mata kegembiraan sebaik sahaja tiba di garisan penamat selepas memperagakan aksi luar biasa dengan memecahkan rekod acara itu dengan catatan 59.79 saat untuk menyumbang emas pertama skuad renang negara pada temasya kali ini yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Anas meninggalkan juara bertahan dari Singapura Benson Tan yang sekadar berpuas hati dengan pingat perak melalui catatan 1:01.38s manakala seorang lagi perenang negara, Zadrian Chan meraih gangsa (1:01.70s).

Lebih manis, anak kelahiran Paroi, Negeri Sembilan yang turun beraksi buat kali pertama pada temasya ini turut memadam rekod Benson dengan catatan 1:02.88s di Myanmar pada 2014.

"Saya tak sangka dapat menang emas hari ini dan sebab itulah saya menangis malah kejayaan saya turut disaksikan ayah saya, Zul Amirul Sidi yang hadir hari ini," katanya kepada pemberita. - Bernama