18/09/2017

Langkah kanan skuad bola keranjang berkerusi roda negara

Langkah kanan skuad bola keranjang berkerusi roda negara


Tiga mata berharga yang berjaya diraih skuad bola keranjang berkerusi roda negara mampu melonjakkan semangat pasukan itu.

KUALA LUMPUR - Skuad bola keranjang berkerusi roda negara membuka tirai temasya Sukan Para ASEAN (APG) Ke-9 Kuala Lumpur 2017 dengan langkah kanan selepas menewaskan Laos 16-9 pada perlawanan liga sepusingan acara tiga lawan tiga hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Malaysia yang merangkul pingat perak pada edisi 2015 di Singapura tidak berdepan masalah apabila selesa mendahului 8-5 pada separuh masa pertama.

Malaysia yang diketuai Ahmad Nazri Hamzah kemudian terus mempamerkan permainan bertenaga pada separuh masa kedua apabila berjaya mengutip lapan mata untuk menjadikan kedudukan 16-9 berpihak kepada skuad negara.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Ahmad Nazri mengakui sembilan mata yang berjaya dicuri Laos membuktikan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya terutama dari segi corak taktikal ketika bertahan.

Bagaimanapun, beliau optimis tiga mata berharga yang berjaya diraih ke atas Laos itu mampu melonjakkan semangat rakan sepasukannya untuk mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya.

"Secara keseluruhan pasukan ini telah menunjukkan peningkatan yang banyak jika dibandingkan sewaktu di Singapura. Tetapi mungkin faktor suhu yang sejuk di venue menjadi punca kami tidak dapat beraksi seperti yang diharapkan.

"Sepanjang fasa persediaan, kami membuat latihan di dewan yang tidak berhawa dingin jadi ia mungkin menjejaskan sedikit rentak permainan sehingga membawa kepada punca disiplin pertahanan yang lemah, namun kami janji akan bangkit mempamerkan aksi lebih baik selepas ini," katanya. Bernama