18/09/2017

Malaysia pamer aksi cemerlang raih enam emas hari pertama acara olahraga

Malaysia pamer aksi cemerlang raih enam emas hari pertama acara olahraga


Siti Noor Iasah antara atlet yang menyumbang emas hari pertama acara olahraga APGKL2017.

KUALA LUMPUR Malaysia mempamerkan aksi cemerlang selepas meraih enam emas pada hari pertama olahraga pada Sukan Para ASEAN (APG) Ke-9 Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik Rio 2016, Siti Noor Radiah Ismail menyumbang pingat emas pertama setelah melakukan lompatan sejauh 4.99 meter dalam acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran).

Rakan senegara, Nani Shahiera Zawawi meraih pingat perak dengan catatan 4.78 meter manakala atlet Indonesia, Tiwa terpaksa berpuas hati meraih gangsa dengan catatan 4.66 meter.

Selain itu, seorang lagi wakil negara, Nur Alia Ardiela Natasya sekadar menduduki tangga keempat daripada enam peserta setelah mencatat lompatan sejauh 4.48 meter.

Emas kedua Malaysia hadir dalam acara atlet muda, Eddy Bernard yang memenangi acara 100m T37 (masalah koordinasi) dengan catatan 12.45 saat bagi menewaskan rakan sepasukan, Jacklon Ganding yang meraih perak (12.48 saat) manakala Le Van Manh dari Vietnam terpaksa berpuashati dengan gangsa selepas mencatat 12.68 saat.

Sementara itu, Muhamad Afiq Mohamad Ali merangkul pingat emas ketiga untuk Malaysia selepas memenangi acara 100m lelaki T12 (masalah penglihatan) dengan catatan 11.45 saat, sekaligus menewaskan dua wakil Thailand, Chaiya Som-Dech dan Wongngoen Amnat yang terpaksa berpuashati dengan kutipan pingat perak dan gangsa setelah mencatat 11.77 saat dan 11.81 saat.

Faridul Masri menuai emas keempat untuk kontinjen negara setelah mencatat lontaran sejauh 28.86 meter dalam acara rejam lembing F56 (kecacatan anggota) disusuli atlet Vietnam, Trinh Cong Luan (24.2 meter) untuk meraih pingat perak manakala Hirdan Abdul Kadi dari Brunei terpaksa berpuashati dengan gangsa (22.17 meter).

Kontinjen negara meraih emas kelima menerusi Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin yang memenangi acara 800m T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan 2 minit:34.12 saat di hadapan rakan sepasukannya, Maswinah Suanang meraih perak (2:41.24 saat) manakala atlet Thailand, Phoophaploy Wipha menggondol pingat gangsa (3:01.80 saat).

Emas terakhir Malaysia disumbangkan oleh Hemala Dewi yang memenangi acara lempar cakera wanita F12 (masalah penglihatan) dengan balingan sejauh 32.46 meter, disusuli Nor Hensan Mata dari Brunei (24 meter) manakala seorang lagi wakil negara, Noor Kalsum Fadil membawa pulang pingat gangsa (18.46 meter).

Thailand mengungguli hari pertama acara olahraga APG 2017 dengan kutipan sembilan emas manakala Indonesia turut berkongsi enam pingat emas bersama Malaysia. - Bernama