18/09/2017

Skuad Goalball tamatkan badi rekod tanpa menang

Skuad Goalball tamatkan badi rekod tanpa menang


Aksi skuad Goalball negara.

KUALA LUMPUR - Skuad Goalball lelaki negara akhirnya menamatkan badi rekod tanpa menang kepada Thailand di temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-9, selepas mencatatkan kemenangan 13-7 dalam aksi liga sepusingan, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Ia merupakan kemenangan pertama Malaysia ke atas juara bertahan itu selepas 12 tahun beraksi di temasya sukan bagi atlet kelainan upaya itu, apabila lima kali dikecewakan Thailand di peringkat akhir APG (2005, 2007, 2011, 2014 dan 2015).

Jurulatih pasukan Abdul Karim Raham berkata, kejayaan itu dicapai dengan prestasi memberangsangkan dan kerja keras yang ditunjukkan oleh para pemain, selain latihan intensif selama 10 hari di China pada awal bulan lalu.

"Pemain menunjukkan prestasi terbaik hari ini dan menjadi pembuka semangat kepada pasukan dalam usaha meraih pingat emas pertama kami. Prestasi begini yang saya harapkan daripada mereka kerana tahu Thailand memang pasukan yang paling kuat di ASEAN.

"Kami agak risau kerana Thailand kalahkan kami dengan 'Game Over' 10-0 pada pusingan awal dan 'Game Over' pada final di Singapura dua tahun lalu. Malah, semalam pula mereka menewaskan Myanmar 13-3 dalam masa sembilan minit," katanya kepada Bernama.