17/09/2017

Pembukaan gilang-gemilang Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017

Pembukaan gilang-gemilang Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017


Kontinjen negara seramai 325 atlet dan 167 pegawai berarak masuk ke dalam Stadium Nasional Bukit Jalil pada upacara perasmian APG KL2017 sebentar tadi.

KUALA LUMPUR - Suasana gilang-gemilang kembali mewarnai Stadium Nasional Bukit Jalil selepas 16 tahun Malaysia kembali menjadi tuan rumah kepada 1,421 atlet para yang akan bertanding di temasya Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017).

Upacara perasmian dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera 11 negara Asia Tenggara yang menyertai temasya dwitahunan itu bersama dengan Bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN dan bendera edisi kesembilan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), didahului oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Penganjuran yang bertemakan 'Bangkit Bersama' itu turut memperkenalkanmaskot Rimau Para berkerusi roda.

Acara perarakan mengikut susunan abjad yang dimulai dengan perarakan masuk kontinjen Brunei yang diketuai oleh Rosmadee Md. Daud bersama-sama 27 atlet, diikuti Kemboja dibarisi oleh Yi Veasna dan 70 atlet.

Perarakan masuk kontinjen diteruskan dengan 191 atlet Indonesia, seterusnya Laos (50), Myanmar (120), Filipina (110), Singapura (90), Thailand (287), Timor Leste (13) dan 138 atlet Vietnam.

Malaysia, selaku tuan rumah diberi penghormatan menjadi kontinjen terakhir berarak masuk ke stadium, diketuai oleh Datuk R. Subramaniam bersama-sama tiga pemegang bendera Jalur Gemilang iaitu dua juara dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh).

Kontinjen negara seramai 325 atlet dan 167 pegawai berwajah seri dengan persalinan baju kurung pesak dan baju Melayu moden berinspirasikan warna Jalur Gemilang rekaan pereka tersohor, Cosry, melangkah masuk dengan penuh semangat.

Atlet para negara menyertai 16 jenis sukan untuk meraih sasaran 103 pingat emas, sekali gus mengintai gelaran juara keseluruhan di laman sendiri.

Pencapaian terbaik kontinjen negara di Sukan Para ASEAN adalah pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah dengan meraih 132 pingat emas, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Bernama