16/09/2017

Sukan Para ASEAN 2017 akan dirasmikan dengan gilang-gemilang malam esok

Sukan Para ASEAN 2017 akan dirasmikan dengan gilang-gemilang malam esok


Khairy menyampaikan cenderahati kepada Ketua Kontinjen Para ASEAN ke-9 Datuk R. Subramanian pada upacara menaikkan bendera kontingen Para Asean ke-9 di Dataran Keris Stadium Naional Bukit Jalil, disini, hari ini

KUALA LUMPUR - Upacara perasmian Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 esok, bakal menampilkan persembahan hebat sama seperti majlis pelancaran Sukan SEA KL2017.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata upacara itu yang diadakan di Stadium Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur bermula 8.15 malam, akan berlangsung selama satu jam 20 minit.

"Tiket dalam talian dah habis, kami tidak jual tiket, penonton cuma perlu buat tempahan menerusi dalam talian. Esok 4,000 hingga 5,000 tiket lagi diedarkan di stadium kepada orang ramai bermula 12 tengah hari, maka atas kertas saya melihat stadium penuh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke venue memanah di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), bola sepak CP di Padang C MSN dan badminton di Axiata Arena di sini, hari ini.

Khairy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), berkata semua persiapan dan persediaan penganjuran sukan itu berada pada tahap terbaik, termasuk dari segi kemudahan tambahan untuk penonton OKU yang hadir ke venue.

Perasmian esok turut menyaksikan persembahan penyanyi terkemuka Yuna bersama-sama dengan golongan kurang upaya (OKU).

"Kami juga melatih 4,000 sukarelawan untuk memberikan bantuan kepada atlet dan juga penonton, terutamanya bagi golongan OKU mengenai kemudahan yang disediakan, kenderaan khas dan sebagainya selain telah menambah dan mengubah suai kemudahan kepada mereka," katanya.

Sukan Para ASEAN kesembilan berlangsung esok hingga 23 Sept ini, menawarkan 368 pingat emas daripada 16 jenis sukan yang dipertandingkan. - Bernama