28/08/2017

Ahmad Amsyar raih emas acara papan anjal individu

Ahmad Amsyar raih emas acara papan anjal individu

Ahmad Amsyar

KUALA LUMPUR - Olympian Ahmad Amsyar Ahmad menerima hadiah hari jadi yang tidak akan dilupakannya selepas melakukan terjunan emas dalam acara 1m papan anjal individu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini.

Ahmad Amsyar yang menyambut ulang tahun ke-25 hari ini, mengumpul 384.00 mata untuk pingat emas mengatasi rakan senegara Ooi Tze Liang yang dalam cubaan menuai emas ketiganya di Pusat Akuatik Nasional di sini.

Ia merupakan kilauan emas acara individu Sukan SEA bagi anak kelahiran Perlis itu, selepas memenangi emas dalam acara 3m papan anjal seirama pada edisi Nay Pyi Daw 2013 dan Singapura 2015 manakala sekadar meraih gangsa dalam 10m platform individu pada Sukan Palembang 2011.

Tze Liang yang merangkul emas dalam 3m papan anjal lelaki pada Sabtu dan 10m platform semalam, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 368.60 mata, manakala gangsa menjadi milik penerjun Singapura Mark Lee Han Ming dengan 350.55 mata.

Bagaimanapun, Ahmad Amsyar tidak dapat meraikan harijadinya malam ini kerana perlu berehat bagi menghadapi acara 3m papan anjal seirama lelaki bergandingan dengan Chew Yiwei, esok. - Bernama