28/08/2017

Muhammad Azroy tekad sumbang emas Sukan Komanwel tahun depan

Muhammad Azroy tekad sumbang emas Sukan Komanwel tahun depan

KUALA LUMPUR - Gagal membutirkan sebarang pingat pada Sukan SEA ke-29 yang berlangsung di laman sendiri, atlet angkat berat Negara, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad bertekad mahu menebus kekecewaannya dengan menyumbang emas pada Sukan Komanwel tahun depan.

Muhammad Azroy yang beraksi dalam kategori 56 kilogram (kg) yakin mampu menghadiahkan pingat emas pada Sukan Komanwel yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia setelah berupaya melakukan jumlah angkatan keseluruhan 258kg dalam saingan acara itu di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Atlet kelahiran Rompin, Pahang berusia 23 tahun itu turut mengatasi rekod peribadinya dengan angkatan keseluruhan sebanyak 250kg, yang dicatat sewaktu Sukan Perpaduan Islam di Baku, Azerbaijan pada Mei lalu.

Dalam saingan hari ini, beliau sekadar menduduki tempat keempat dengan melakukan angkatan 115kg bagi disiplin Snatch dan 143kg bagi Clean and Jerk.

Pingat emas diraih atlet Vietnam, Thach Kim Tuan yang melakukan angkatan keseluruhan 269kg (120kg Snatch dan 149kg Clean and Jerk), pingat perak dimenangi Surahmat Suwoto Wijoy darti Indonesia yang mengangkat 267kg (119kg Snatch dan 148kg Clean and Jerk) manakala atlet Thailand Witoon Mingmoon melalui angkatan 259kg (110kg Snatch dan 149kg Clean and Jerk) meraih gangsa. Bernama