28/08/2017

Cheow Lin raih pingat perak dalam kategori Windsurfing RS One Wanita

Cheow Lin raih pingat perak dalam kategori Windsurfing RS One Wanita

Oleh ZAID MOHD. NOOR


Cheow Lin ketika beraksi dalam kategori Windsurfing RS One Wanita pada acara pelayaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini.

LANGKAWI - Pelayar muda negara, Geh Cheow Lin tetap tersenyum puas walaupun meraih pingat perak dalam kategori Windsurfing RS One Wanita pada perlumbaan penentuan pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Kompleks Sukan Perayu Layar Kebangsaan di sini hari ini.

Cheow Lin, 22, yang merupakan penerima Bintang Harapan Wanita sempena majlis Anugerah Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) 2016 berjaya mengumpul 26 mata penalti daripada 10 perlumbaan dalam acara tersebut.

Pemenang pingat emas dalam kategori itu ialah pelayar dari Thailand, Siripon Kaewduang Ngam selepas berjaya mengumpul 19 mata penalti.

Sementara itu, pelayar dari Singapura, Lim Si Ning Nicole memenangi pingat gangsa dengan kutipan 32 mata penalti.

Setakat ini, skuad pelayaran negara mengumpul tiga emas, tiga perak dan satu gangsa dalam acara pelayaran. - K! ONLINE