27/08/2017

Muhammad Uzair, Naquib Eiman lega dapat pertahan emas kategori antarabangsa 420 lelaki

Muhammad Uzair, Naquib Eiman lega dapat pertahan emas kategori antarabangsa 420 lelaki

Oleh ZAID MOHD. NOOR


Atlet Pelayar Negara, Muhamad Uzair Amin Mohd Yusof (kiri) bersama Naquib Eiman Shahrin menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam kategori antarabangsa 420 lelaki pada acara pelayaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Kompleks Pelayaran Kebangsaan di sini, hari ini.

LANGKAWI - Pasangan pelayar negara, Muhammad Uzair Amin Mohd. Yusof dan Naquib Eiman Shahri mengakui tertekan berhadapan dengan pasukan lain dalam usaha untuk mempertahankan pingat emas dalam kategori antarabangsa 420 lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini hari ini.

Naquib Eiman berkata, tugas untuk mempertahankan pingat emas sememangnya berat memandangkan mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Menurutnya, pasukan Thailand merupakan pesaing yang sengit pada sepanjang pertarungan itu.

"Allahamdullilah kami dapat mengekalkan rentak kemenangan dalam 10 saingan dalam kategori tersebut untuk meraih pingat emas yang cukup bermakna itu," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di sini hari ini.

Dalam kategori tersebut, pasangan pelayar Thailand, Suthon Yampinid dan Nopphorn Booncherd meraih pingat perak manakala pasangan Singapura, Koh Yi Nian dan Wong Riji pula memenangi pingat gangsa.


Atlet pelayar negara, Mohamad Faizal Norizan (kanan) bersama Ahmad Syukri Abdul Aziz menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam kategori antarabangsa 470 lelaki pada acara pelayaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Kompleks Pelayaran Kebangsaan di sini hari ini.

Sementara itu, pasangan Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz yang memenangi pingat emas dalam kategori antarabangsa 470 lelaki pula berbangga dapat menghadiahkan pingat emas untuk negara dalam kategori tersebut.

Menurut Mohamad Faizal, kejayaan yang dicapai ini adalah hasil kerja berpasukan bersama Ahmad Syukri yang cukup membanggakan selepas kira-kira lima tahun berpasangan dalam sukan pelayaran.

Malah tambahnya, dia juga mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, pengurusan skuad pelayar negara dan penyokong yang banyak memberi sokongan dan membangkitkan semangatnya untuk memburu emas dalam kategori tersebut.

"Pingat emas yang kami rangkul dalam kategori itu merupakan kali pertama dimenangi skuad negara," katanya lagi.

Pemenang pingat perak dalam kategori iu pula dirangkul pasangan pelayar Thailand, Navee Thamsoontorm dan Nut Butmarasri

Sementara itu, pasangan pelayar Filipina, Emerson Viĺlena dan Lester Troy Tayong sekadar membawa pulang pingat gangsa. - K! ONLINE