12/08/2017

Skuad bola keranjang lelaki negara azam ulangi pencapaian pada Sukan SEA 1989

Skuad bola keranjang lelaki negara azam ulangi pencapaian pada Sukan SEA 1989


Pasukan bola keranjang lelaki negara akan cuba meraih emas walaupun sasaran pingat yang ditetapkan adalah gangsa.

KUALA LUMPUR - Skuad bola keranjang lelaki negara berazam untuk mengulangi pencapaian bersejarah pada edisi 1989 dengan menampilkan aksi yang lebih terpuji pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang membuka tirai minggu depan.

Biarpun terpaksa berdepan dengan pasukan gergasi Filipina dan Thailand, namun skuad negara tidak gentar apabila melalui sesi persediaan yang lebih mantap serta sokongan padu peminat tempatan di laman sendiri.

Jurulatihnya, Goh Cheng Huat berkata, pemain telah menimba pengalaman berharga dan keyakinan yang lebih tinggi selepas mengharungi sesi latihan keras termasuk mengadakan perlawanan Jelajah New Zealand, bulan lepas.

"Walaupun sasaran pingat gangsa tetapi kami akan pasti bertarung untuk pingat emas. Kami tidak akan mudah menyerah kalah tetapi akan bermain bermati-matian sehingga detik akhir," katanya.

Skuad lelaki itu mencipta sejarah apabila merangkul emas dengan mengalahkan Filipina pada Sukan SEA ke-15 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 1989. - Bernama