12/08/2017

Malaysia hantar kontinjen terbesar

Malaysia hantar kontinjen terbesar


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Malaysia disahkan menghantar kontinjen terbesar yang akan beraksi dalam Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur (KL2017) yang membuka tirai dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan akan menghantar 844 atlet iaitu 469 atlet lelaki dan 375 alet wanita, sekali gus menjadikan penglibatan atlet negara sebagai yang terbesar dalam sejarah temasya dwitahunan itu.

Setiausaha Kehormat, Datuk Low Beng Choo berkata, Thailand membariskan kontinjen atlet kedua terbesar dengan 818 atlet.

"Kalau dilihat daripada jumlah keseluruhan, Thailand adalah kontinjen terbesar dengan melibatkan seramai 447 pegawai manakala kontinjen Malaysia pula disertai oleh 390 pegawai," katanya.

Untuk edisi ke-29 kali ini, Thailand menghantar kontinjen terbesar dengan 1,265 orang (atlet dan pegawai) dan diikuti Malaysia (1,234), Indonesia (948), Singapura (840), Filipina (762), Vietnam (684), Laos (293), Kemboja (261), Brunei (172) dan Timor-Leste (69).

Bagaimanapun jumlah kontinjen Myanmar hanya akan dimuktamadkan hari ini, kata Beng Choo selepas mesyuarat majlis eksekutif MOM di sini hari ini. - Bernama