12/08/2017

Trek Mondo di Stadium Nasional bertaraf antarabangsa

Trek Mondo di Stadium Nasional bertaraf antarabangsa


Stadium Nasional, Bukit Jalil.

KUALA LUMPUR - Trek Mondo di Stadium Nasional di Bukit Jalil, serupa dengan trek semasa Usain Bolt mencatatkan rekod Olimpik 9.63s di London pada 2012 dan tiga gelaran berturut-turut di Rio de Janeiro, bakal meningkatkan tahap keterujaan dalam saingan acara pecut Sukan SEA.

Trek baharu berwarna biru itu, sama seperti di Rio, telah terbukti membawa tuah kepada pelari pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 20.90s dalam 200m pada Terbuka Malaysia, memecahkan rekod kebangsaan 20.92s dipegang hampir separuh abad oleh Tan Sri Dr M. Jegathesan pada Olimpik Mexico 1968.

Pada temasya dwitahunan itu di Singapura sebelum ini, enam rekod dicipta dalam acara balapan tetapi tiada dalam acara pecut dengan bintang Filipina Eric Cray dan Kayla Richardson masing-masing menjulang gelaran 100m lelaki dan wanita manakala acara 200m menjadi milik Le Trong Hinh dari Vietnam dan Shanti Pereira dari Singapure.

Khairul Hafiz, 19, jelas menyukai trek itu dan begitu teruja untuk membuat penampilan pertama di Sukan SEA untuk memberi cabaran kepada pesaingnya termasuk Cray dan pelari pecut Thailand Jirapong Meenapra yang menjuarai 100m pada 2013.

"Trek ini sangat baharu dan sama taraf macam trek di luar negara yang digunakan untuk kejohanan peringkat antarabangsa, dan lebih bagus dan selesa berbanding trek yang lama.

"Saya rasa trek ini sangat bagus untuk mencatatkan masa terpantas. Saya harap buat yang terbaik untuk Sukan SEA kali ini dengan hasil doa semua rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama.