09/08/2017

Isu atlet keluar malam, KJ serah kepada Marina Chin

Isu atlet keluar malam, KJ serah kepada Marina Chin


Khairy

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menyerahkan sepenuhnya kepada Chef-de-Mission (CDM) Malaysia untuk Sukan Sea 2017, Datuk Marina Chin bagi menentukan nasib dua atlet negara yang didakwa keluar dari kem melepasi tempoh yang dibenarkan minggu lalu.

Walaupun pihaknya telah mendengar dan menerima penjelasan daripada kedua-dua atlet berkenaan, Khairy menegaskan adalah penting bagi setiap atlet untuk menitikberatkan aspek displin yang telah ditetapkan pihak pengurusan.

"Disiplin perlu diutamakan, (jadi) saya serah kepada Datuk Marina, kita punya CDM untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

"Kita dah dengar alasan oleh kedua atlet yang telah melanggar displin, kita terima penjelasan mereka. (Bagaimanapun) saya harap pemantauan para atlet di kem dapat dipertingkatkan lagi supaya tidak ada insiden (seumpama ini) terjadi lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sesi Meet (amp) Greet Mycorps South Asia di sini hari ini.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo semalam dilaporkan mengesahkan terdapat dua atlet negara iaitu daripada skuad futsal dan badminton melanggar perintah berkurung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara. - Bernama