08/08/2017

Persiapan temasya KL2017 di fasa akhir - Khairy

Persiapan temasya KL2017 di fasa akhir - Khairy


Khairy (dua kanan) ketika meninjau persiapan menjelang Sukan SEA Ke-29 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, di sini, hari ini

KUALA LUMPUR - Persiapan bagi penganjuran temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017 atau KL2017) yang kini di fasa akhir berada pada tahap memuaskan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy yang turut mempengerusikan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pengelola KL2017 berkata pihaknya turut berpuas hati dengan persiapan yang telah dan sedang dilaksana 18 jawatankuasa yang ditubuhkan.

"Laporan yang diterima daripada setiap jawatankuasa amat memuaskan dan aspek-aspek seperti keselamatan, penginapan, makanan, pengangkutan, kemudahan, peralatan pertandingan, kawalan trafik, perubatan, anti doping dan protokol diberi perhatian serius," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berkaitan persediaan dan persiapan KL2017.

Khairy berkata dari segi keselamatan, pihak berkenaan kini bersedia sepenuhnya untuk menangani sebarang ancaman.

Menurutnya, semua lokasi pertandingan termasuk venue utama iaitu Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil telah siap dan kini sedang melalui proses pelengkapan peralatan.

"Kemudahan lain seperti Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC) yang turut menempatkan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) dan Pusat Media Utama (MPC) akan siap sepenuhnya dalam beberapa hari lagi.

"Empat dewan utama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan diubah untuk dijadikan venue pertandingan bagi enam jenis sukan. Venue lain termasuk venue yang ditetapkan sedang melalui proses sentuhan terakhir sebelum menerima ketibaan atlet dari 11 negara Asia Tenggara bermula 14 Ogos ini," katanya.

KL2017 katanya, mendapatkan khidmat 13,000 sukarelawan iaitu 9,000 untuk Sukan SEA dan 4,000 untuk Sukan Para ASEAN, dan mereka mengikuti dua fasa latihan selama lebih 100 hari mencakupi kursus umum seperti tugas dan tanggungjawab sukarelawan serta latihan spesifik mengikut tugasan.

"Dari segi persiapan atlet, program 'Kita Juara' di bawah Majlis Sukan Negara telah memasuki fasa terakhir bermula April lepas dan seramai 874 atlet daripada 38 jenis sukan akan mewakili kontinjen negara dengan menyertai 398 acara sukan," kata menteri itu. - Bernama