TERKINI

Pengedar dadah tegar antara 30 orang ditahan dalam Ops Sarang Khas

Pengedar dadah tegar antara 30 orang ditahan dalam Ops Sarang Khas

13/10/2017 7:23pm


Operasi selama hampir 15 jam itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik Bukit Aman, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Jabatan Imigresen.


KUALA LANGAT - Seorang pengedar dadah tegar yang baharu sembilan bulan dibebaskan dari penjara sekali lagi ditahan dalam satu Ops Sarang Khas di dua lokasi di daerah ini semalam.

Lelaki berusia 41 tahun itu yang dibebaskan awal Januari lalu selepas dua tahun meringkuk di dalam penjara ditahan bersama 29 penagih dadah dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Sepat dan Telok Panglima Garang.

Operasi selama hampir 15 jam itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Imigresen.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, serbuan tersebut tertumpu di dua kawasan kebun kelapa sawit yang menjadi tumpuan penagih dadah untuk mendapatkan bekalan dadah serta tempat untuk melepaskan gian.

Katanya, dalam serbuan di sebuah kebun kelapa sawit di Telok Panglima Garang, pihaknya berjaya menahan 21 orang lelaki yang juga penagih dadah tegar di kawasan terbabit.

"Sementara itu, satu lagi serbuan di kawasan Tanjung Sepat, kita telah berjaya menahan seorang pengedar dadah bersama tujuh orang penagih.

"Kesemua yang ditahan itu berusia lingkungan 20 hingga 59 tahun terdiri daripada 28 orang lelaki dan seorang wanita. Turut dirampas dadah jenis heroin seberat kira-kira 104 gram serta wang tunai RM1,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas mengenai pengedar dadah terbabit, Azizan berkata, lelaki berkenaan pernah ditahan di penjara Simpang Renggam di Johor selama dua tahun di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan dibebaskan pada Januari lalu.

"Siasatan awal mendapati, suspek ini bukan sahaja aktif di Kuala Langat, malah juga di daerah berhampiran seperti Sepang dan Subang Jaya. Suspek kini direman sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sementara itu, kesemua 28 penagih yang ditahan semalam telah diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,"jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Azizan memberitahu, sejak awal Januari sehingga semalam, seramai 114 orang disyaki pengedar dadah di sekitar daerah ini telah ditahan bersama kira-kira 327 orang penagih. - K! ONLINE

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 31