DUNIA

Hamas, Fatah capai persetujuan damai

Hamas, Fatah capai persetujuan damai


REUTERS - GAMBAR fail bertarikh 3 Oktober lalu menunjukkan Ismail (kanan) berjabat tangan dengan Khaled dalam satu pertemuan di Bandar Gaza, Palestin.


BANDAR GAZA, Wilayah Palestin – Dua kumpulan bertelagah di Palestin, Hamas dan Fatah berjaya mencapai persetujuan atas tawaran perdamaian politik selepas satu rundingan yang diadakan di Kaherah pada minggu ini, kata Hamas semalam.

Kedua-dua pihak seteru itu telah mengadakan satu mesyuarat anjuran Mesir yang bertujuan untuk mengakhiri permusuhan hampir 10 tahun pada Selasa lalu.

“Satu persetujuan telah dicapai hari ini (semalam) antara Hamas dan Fatah di bawah bantuan Mesir,” kata satu kenya­taan yang dikeluarkan oleh pejabat pe­mimpin Hamas, Ismail Haniya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan butiran lanjut.

Sementara itu, jurucakap Fatah dan anggota yang menyertai delegasi di Kaherah, Fayez Abu Eita berkata, butiran lanjut akan diumumkan kemudian pada satu sidang akhbar nanti.

Satu pihak yang terbabit dalam rundingan itu dan enggan dikenali berkata, perjanjian damai tersebut menyaksikan tentera Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Tebing Barat akan mengambil alih kawalan sempadan antara Gaza dan Mesir di Rafah.

Menurutnya, kesemua puak di Palestin akan memulakan rundingan secara lebih mendalam mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dalam masa dua minggu lagi.

Dalam perkembangan sama, satu sumber berkata, ketua perisikan Mesir, Khaled Fawzi turut menyertai rundingan berkenaan.

Hamas telah merampas Gaza daripada Fatah dalam satu perang saudara pada tahun 2007 dan sejak itu kedua-dua pihak berkenaan bertelagah dengan melancarkan pelbagai serangan udara dan darat.

Malah, pelbagai rundingan perdamaian cuba diadakan tetapi gagal. – AFP

Process time in ms: 31