DUNIA

Api di California terus mengganas

Api di California terus mengganas

REUTERS - API kelihatan marak di kawasan berhampiran Jalan Atlas di daerah Napa, California pada Isnin lalu.


SANTA ROSA, Amerika Syarikat (AS) – Lebih 8,000 anggota bomba bersama ratusan jentera dari seluruh negara dikerah bagi membantu memadamkan kebakaran paling dahsyat di California di sini kelmarin.

Setakat ini, kebakaran itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh, manakala beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Keadaan kini menjadi satu bencana yang kritikal dan dahsyat.

“Apa yang pasti kami tidak akan keluar dari hutan ini untuk beberapa hari lagi sehingga kesemua kebakaran berjaya dipadamkan,” kata Ketua Jabatan Bomba California, Ken Pimlott kepada wartawan.

Pimlott berkata, kerja-kerja memadamkan kebakaran terpaksa ditangguhkan pada Selasa lalu berikutan angin kencang dan cuaca kering sekali gus menghalang usaha pasukan bomba.

Menurutnya, jumlah kematian akibat kebakaran kali ini merupakan antara paling dahsyat pernah berlaku di California dan dijangka akan terus meningkat.

Kira-kira 13 kematian dilaporkan berlaku di daerah Sonoma yang merupakan sebuah daerah terkenal sebagai pengeluaran wain di California, manakala enam orang mati di daerah Mendocino.

Terdapat dua kematian di daerah Napa dan dua di daerah Yuba.

“Dilaporkan hampir 600 orang hilang di sekitar daerah Sonoma tetapi sebahagiannya telah berjaya dikesan semula,” kata seorang syerif, Robert Giordano.

Bencana itu turut meng­akibatkan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala 25,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka di daerah Sonoma sahaja, kata beberapa pegawai.

Pihak berkuasa menganggarkan 3,500 buah rumah dan premis perniagaan hangus termasuk beberapa kilang membuat wain di daerah Sonoma dan Napa.

Pimlott berkata, pasukan bomba sedang berusaha untuk memadamkan sejumlah 22 kebakaran hutan melibatkan keluasan tanah hampir 68,800 hektar.

Sebanyak 170 jentera bomba dari negeri kejiranan Arizona, Nevada, Oregon dan Washington serta 154 di negeri lain turut dikerahkan untuk mema­damkan kebakaran itu.

Mereka turut dibantu oleh 73 helikopter dan 30 pesawat dengan keseluruhan hampir 8,000 anggota bomba.

Berikutan itu, Gabenor California, Jerry Brown mengisytiharkan darurat di lapan daerah.

Kebakaran hutan dikatakan sering berlaku di beberapa negeri di barat AS terutamanya pada musim panas dan cuaca kering tetapi kejadian pada tahun ini disifatkan antara paling dahsyat di California. – AFP

Process time in ms: 31