VARIA

Penggemar kasut sniker berkumpul di KLCC

Penggemar kasut sniker berkumpul di KLCC

Sebahagian peserta menunjukkan kasut sniker yang ingin dijual dalam segmen Tranding Pit.


SEBAGAI seorang penggemar kasut sniker, pemuda berusia 18 tahun itu tidak mahu ketinggalan untuk menghadiri acara SneakerLah 2017 yang berlangsung di Dewan 6, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

Acara yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu menampilkan lebih 50 buah gerai yang menjual pelbagai kasut berjenama dan pakaian berkonsepkan fesyen jalanan.

Menurut Nigel Jacob Abraham, kunjungannya ke acara itu bertujuan untuk melihat dan membeli kasut keluaran terbaharu serta rare atau sukar diperoleh daripada syarikat jenama terkemuka.

Pemuda yang berasal dari Klang, Selangor itu memberitahu, acara tersebut turut menawarkan peluang kepadanya untuk menjual kasut terpakai dalam segmen Tranding Pit.

“Saya merupakan seorang pengumpul kasut sniker sejak tiga tahun lalu. Jadi, acara seperti ini membolehkan saya melihat dan membeli kasut sniker yang menjadi kegilaan anak muda.

“Pada hari ini, saya juga ingin menjual dua pasang kasut terpakai. Kalau ada yang terjual, baru saya akan beli kasut baharu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Selain penggemar kasut sniker, acara SneakerLah 2017 turut ditunggu-tunggu oleh para peniaga dan syarikat-syarikat kasut berjenama terkenal sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Salah seorang peniaga yang terlibat, Unif Jalaluddin Ahmad, 35, memberitahu, dia mengambil bahagian pada acara SneakerLah itu untuk memperkenalkan platform jualan online miliknya iaitu JodYaz’s.

JodYaz’s menjual pelbagai jenis kasut sniker berjenama terkenal seperti Nike dan Adidas dalam Facebook serta Instagram.

Jelas pemuda berasal dari Bangi, Selangor itu, acara tersebut juga memberi peluang kepadanya bertentang mata dengan para pembeli serta penggemar kasut sniker di negara ini.

Edisi terhad


SEBAHAGIAN kasut sniker berjenama dipamerkan dalam acara SneakerLah.


“Ini kali pertama saya mengambil bahagian dalam SneakerLah. Matlamat saya di sini bukan untuk mengejar keuntungan, sebaliknya memperkenalkan platform jualan online yang saya usahakan sejak dua tahun lalu.

“Saya mahu peminat-peminat kasut sniker di negara ini mengenali JodYas’z sebagai penjual kasut berjenama yang original secara online,” katanya yang juga usahawan makanan.

Acara pada tahun ini dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan antaranya Airliftz, Zamaera, DJs Arabyrd dan JHin.

Pengasas Bersama SneakerLah, Bryan Chin berkata, pada tahun ini, acara berkenaan mempamerkan lebih 350 pasang kasut sniker edisi terhad yang original.

Katanya, para pengunjung juga berpeluang mengetahui produk-produk baharu daripada jenama antarabangsa seperti Vans, Reebok dan Rastaclat.

“Acara tahun ini adalah lebih besar berbanding penganjuran pada tahun lalu. Kali ini, kami memilih KLCC yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur sebagai lokasi.

“Jumlah pengunjung pada tahun ini adalah sekitar 18,000 orang. Kali ini juga kami mengenakan bayaran masuk kepada pengunjung serendah RM10. Caj ini bagi menampung kos sewa dewan,” katanya.

Selain aktiviti jualan dengan pelbagai acara menarik berkaitan budaya kasut sniker, fesyen jalanan, gaya hidup dan muzik turut diadakan.

Menurut Bryan, antara aktiviti yang dianjurkan adalah pertandingan mengikat tali kasut, stesen customization sniker Vans, kawasan perdagangan sniker dan panel dialog bersama personaliti dalam industri sniker.

Tambahnya, dua pengunjung bertuah telah berjaya membawa pulang dua buah motosikal S125 sumbangan Vespa Malaysia.

Process time in ms: 47