DUNIA

Berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur dianggap merogol di India

Berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur dianggap merogol di India

NEW DELHI – Melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak di bawah umur dianggap merogol walaupun jika telah berkahwin, demikian perintah mahkamah ter­tinggi India di sini semalam.

Usia yang dibenarkan dan mengikut undang-undang untuk gadis berkahwin di India ialah 18 tahun tetapi jutaan kanak-kanak berkahwin ketika usia yang lebih muda terutama di kawasan luar bandar yang miskin.

Undang-undang rogol India secara khusus tidak memasukkan pasangan berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur sebagai rogol, namun Mahkamah Agung semalam memberitahu bahawa undang-undang itu bercanggah perkara berkaitan dengan usia.

Seorang peguam, Vikram Sri­vastava yang memohon kepada mahkamah mengenai isu itu mengalu-alukan keputusan yang beliau anggap sebagai bakal memberi perlindungan kepada golongan kanak-kanak.

“Penghakiman ini dalam dua baris mengatakan bahawa jika sesiapa kini berkahwin dengan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun dan jika gadis tersebut mengadu dalam hubungan seks, maka orang itu boleh didakwa atas tuduhan rogol,” katanya yang disiarkan rangkaian berita tempatan, NDTV.

Ramai ibu bapa di India mengahwinkan anak-anak mereka ke­rana wang dan untuk mengelak rasa malu berkaitan dengan seks pra­perkahwinan.

Keadaan itu menyebabkan gadis-gadis tidak dapat ke sekolah kerana perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan tugas memasak dan membersihkan rumah selain terdedah dengan masalah kesihatan. – AFP

Process time in ms: 47